Modenas mengadakan sesi pratonton skuter KYMCO AK550 Premium di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor. Harga jualannya RM65,600 tetapi belum kira insurans dan cukai jalan.

Skuter kategori maxi ini menggunakan lencana dan logo KYMCO, tidak ditukar kepada Modenas kerana AK550 Premium ini bukan dipasang di kilang Modenas di Gurun, Kedah sebalinya diimport dari Taiwan (CBU).
APA MENARIK TENTANG KYMCO AK550 PREMIUM?
Maklumat teknikal dan spesifikasi tentang KYMCO AK550 Premium ini memang ada di laman web Modenas sejak seminggu dua lalu.
KYMCO AK550 Premium dikatakan skuter dengan ciri kemajuan, inovasi, prestasi, mewah, praktikal, memenuhi keperluan gaya hidup dan menjanjikan keselesaan semasa menunggang.
Ada dua warna dibawa masuk – Flat Brown (coklat) dan Black (hitam).
ENJIN 2 SILINDER DOHC

Enjin AK550 berupa dua silinder sebaris 550.4cc DOHC 8V Crossplane 270ยบ dengan sistem pancitan bahan api (injektor) dan sistem penyejukan cecair.
Kotak gear adalah automatik CVT beserta klac basah.
Ada dua pilihan mode menunggang – Full Power dan Rain Mode. Full Power berkuasa 50.9hp @ 7,500rpm dan tork 52Nm @ 6,000rpm. Rain Mode pula menghadkan kuasa pada 40hp.
Di pasaran luar, kelajuan KYMCO AK550 Premium dikatakan antara 175kmj hingga 183kmj. Kalau memecut dari 0kmj ke 100kmj, masa diambil 6.7 saat.
LAMPU KYMCO AK550 PREMIUM
Lampu berkembar depan LED putih ditambah lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu signal LED dipasang pada panel fairing sisi sebelah fork.
Lampu belakang juga LED dengan dua jalur berbentuk boomerang dengan lampu brek di tengah-tengah. Lampu signal belakang LED berkongsi rumah dengan lampu brek.
METER KYMCO AK550 PREMIUM
Meter digital KYMCO AK550 Premium ada tiga bahagian tetapi bukan jenis sesentuh (touchscreen).

- Meter kiri: Takometer (meter RPM), Odometer (meter jarak), dua meter trip, kadar penggunaan petrol per kilometer, petunjuk Sistem Kawalan Cengkaman (Traction Control) dan beberapa maklumat lain.
- Meter kanan: Meter laju (Speedometer), indikator baki petrol, suhu enjin dan beberapa ikon atau petunjuk seperti lampu ABS.
- Meter tengah: Paparan boleh ditukar kepada jam, meter laju, sistem navigasi, suhu, kompas pintar serta lain-lain.
SISTEM KEYLESS BUTANG
Skuter AK550 Premium menggunakan sistem pemula tanpa kunci (keyless entry) jenis butang suis tunggal. Tak macam skuter lain yang biasa menggunakan tombol bulat atau rotari.
Di bawah butang suis keyless itu, ada empat lagi butang untuk membuka tempat duduk, penutup minyak, mengubah trip dan suis kunci.
TEMPAT LETAK BARANG
Ada soket pengecas USB dalam kotak simpanan di sebelah kanan. Ruang simpanan barang bawah tempat duduk sebesar 33.15 liter. Boleh muatkan dua topi keledar jenis full-face dan open-face dengan barangan kecil.
TEMPAT DUDUK KYMCO AK550 PREMIUM
Tempat duduk jenis kulit dengan kombinasi material bercorak seperti gentian karbon di kiri dan kanan. Ada pad belakang untuk penunggang demi keselesaan semasa menunggang.
Tempat duduknya sedikit rendah iaitu 785mm tetapi masih empuk. Saiz KYMCO AK550 Premium ialah 2,220mm (panjang) x 795mm (lebar) x 1,450mm (tinggi). Berat kasar 223kg dengan tangki minyak seluas 14.5 liter.
RIM ALOI STANDARD 15 INCI
Rim aloi KYMCO AK550 Premium berukuran 15 inci dengan tayar 120/70 untuk roda depan dan 160/60 (belakang).
Roda depan dilengkapi dua keping cakera brek 270mm dengan kaliper Brembo empat piston. Brek cakera tunggal belakang saiz 260mm berserta kaliper dua piston.
Brek AK550 disertakan dengan ciri Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 9.1MP dua saluran dengan fungsi teknologi pengesan tekanan brek.
CIRI KAWALAN JELAJAH
Model KYMCO AK550 Premium ada ciri Kawalan Jelajah (Cruise Control) dan penunggang boleh gunakan pada kelajuan 45kmj hingga 130kmj. Satu tangki minyak petrol boleh membawa anda destinasi sejauh 300km.
KAWALAN CENGKAMAN
AK550 Premium ada teknologi kawalan cengkaman untuk membantu meningkatkan kestabilan skuter apabila sensor mengesan roda belakang membuang atau terjadi gelinciran roda.
PENGHADANG ANGIN BOLEH LARAS
Penghadang angin lutsinar di hadapan penunggang boleh ditinggikan atau rendahkan dengan menekan butang di sebelah kiri hendal. Grip pemegang bar hendal ada ciri pemanas tiga tahap.






















