Satu lagi motosikal kapcai kategori 125cc sudah memasuki pasaran Malaysia iaitu WMOTO SM125i (2024) yang akan menjadi pesaing kepada dua model Boon Siew Honda iaitu Honda Wave 125i dan Honda Dash 125.
WMOTO SM125i yang diperkenalkan MForce Bike Holdings (MForce Bike) di Pulau Pinang pada 20 Januari 2024 dijual pada harga asas RM5,888 tidak termasuk kos insurans dan cukai jalan.
Melihat pada harga WMOTO SM125i, ia satu pilihan lebih mesra bajet dengan penjimatan RM561 kalau dibandingkan dengan harga dua kapcai Honda:
- Honda Wave 125i (2021): RM6,449
- Honda Dash 125 (2022): RM6,449
Dari aspek pilihan warna, WMOTO SM125i datang dengan tiga warna iaitu Radiant Yellow (kuning), Luminous Blue (biru) dan Blazing Red (merah). Jaminan diberi dua tahun dengan had perbatuan 20,000 kilometer (tengok mana tiba dulu).
Motosikal terbaharu ini menggunakan enjin empat lejang silinder tunggal 123.7cc SOHC dengan sistem pancitan bahan api (fuel injector) dan kaedah penyejukan udara.
Enjin boleh dihidupkan dengan menekan butang start atau menggunakan penendang kaki. MForce Bike menjelaskan, kuasa motosikal kapcai ini 7.8hp pada 8,000rpm dan tork 8.5Nm pada 6,000rpm. Kotak gear jenis empat kelajuan.
Ciri yang agak menarik pada WMOTO SM125i ialah motosikal ini adalah kapcai 125cc pertama Malaysia yang menggunakan skrin meter digital berwarna.
Sebagai bonus, semua lampu pada kapcai ini adalah diod LED dan ada lampu daytime (DRL). Motosikal SM125i juga ada soket USB untuk membantu mengecas telefon pintar.
Aspek suspensi sememangnya standard dengan fork teleskopik biasa dan dua absober di belakang. Komponen brek pula jenis cakera tunggal untuk roda depan tetapi di belakang, ia menggunakan brek dram.
Rim bukan spokes tetapi sportrim aloi bersaiz 17 inci dengan tayar 70/90 (depan) dan saiz 80/90 di belakang. Saiz tangki minyak sebesar 4 liter. Berat kapcai ini hanya 96 kilogram.







































