Suzuki Malaysia ada mempertontonkan model motosikal adventure Suzuki V Strom 250 SX semasa Pameran Kuala Lumpur Bike Show 2023 dan pelancarannya dijangka dibuat menjelang akhir tahun ini.
Masih belum ada pengumuman rasmi dari Suzuki Malaysia mengenai harga Suzuki V Strom 250 SX (2023) tetapi ada laporan media menyatakan harganya sekitar RM18,000 sebuah.

Di Pameran Kuala Lumpur Bike Show 2023, model Suzuki V Strom 250 SX yang dipertontonkan berwarna Champion Yellow iaitu rona kuning dengan liveri biru.
Sebenarnya, ada dua lagi warna pilihan V Strom 250 SX iaitu Pearl Blaze Orange (oren) dan Glass Sparkle Black (hitam) tetapi tidak dapat dipastikan sama ada akan ditawarkan kepada pelanggan Malaysia.
Melihat pada rupa bentuk motosikal adventure itu, rekabentuknya ada persamaan dengan model Suzuki V-Strom 800 dan Suzuki V-Strom 1050 XT. Cuma, saiznya lebih kecil dan sesuai untuk penunggang yang inginkan memiliki motosikal adventure menepati syarat lesen memandu B2.

Model Suzuki V Strom 250 SX ini sudah berada di pasaran India sekitar April 2022 dan selepas setahun kemudian, model sama menjengah pasaran Indonesia. Tahukah anda, Suzuki V Strom 250 SX ialah motosikal adventure jenama Jepun paling murah di Indonesia?
Suzuki V-Strom 250 SX (2023) menggunakan enjin 4 lejang 4 injap silinder tunggal 249cc SOHC dengan sistem penyejukan minyak (SOCS) dan sistem suntikan bahan api (FI).
Enjin itu menghasilkan kuasa 26.5hp @ 9,300rpm dan tork 22.2Nm @ 7,300rpm. Kotak gear jenis klac tangan dengan 6 kelajuan.
Fork digunakan jenis teleskopik 41mm dengan padanan sistem monoshock boleh laras prabeban 7 tetapan.
Rim aloi berwarna hitam memiliki ukuran saiz berbeza iaitu 19 inci untuk roda depan dan 17 inci di belakang. Tayar digunakan adalah profil dwiguna MRF.
Tugas memberhentikan pergerakan disandarkan kepada sistem brek cakera tunggal 310mm (depan) dan cakera 240mm (belakang) berserta kaliper Bybre. Ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran untuk model ini.
Tangki minyak sebesar 12 liter. Saiznya agak sesuai untuk kegunaan off-road ringan dan tunggangan harian di kawasan bandar.
Sistem lampu digunakan berasakan teknologi LED untuk lampu depan dan belakang. Sayang sekali, lampu signal masih berasaskan mentol halogen.
Selain memiliki paruh di hadapan, Suzuki V-Strom 250 SX menerima gard tangan, kowl bawah enjin dan soket USB untuk memastikan penunggang boleh mengecas telefon pintar atau alat navigasi.
Tempat duduknya jenis terpisah antara penunggang dan pembonceng manakala muffler ekzos pula jenis berkembar. Peg kaki pula jenis bergetah dan ada bar untuk pembonceng pegang.







































