Yamaha Y150ZR Special Edition (SE) – Harga RM9,498

Motor Motosikal

Yamaha Malaysia (Hong Leong Yamaha Motors – HLYM) memperkenalkan model supermoped Yamaha Y150ZR Special Edition (SE) dengan harga jualan cadangan sebanyak RM9,498 seunit.

Harga itu tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans. Malah model Yamaha Y150ZR Special Edition adalah RM500 lebih mahal berbanding Y150ZR standard iaitu RM8,998.

Perbezaan kali ini ialah Yamaha Y150ZR Special Edition bukan hanya didatangkan dengan warna baharu iaitu biru gelap tetapi mendapat lima aksesori aero kit pada badan motosikal.

Ada dua keping kit aero ini, dipanggil air scoop dipasang pada panel tepi fairing iaitu di bawah lampu signal belok. Satu keping di atas kepala motosikal sebagai visor dan dua keping lagi di ekor belakang (bawah bar pembonceng).

Semua kit panel aero itu lebih kepada mencantikkan Y150ZR Special Edition atau menjadikannya nampak lebih sporty dan menarik.

Sebabnya, Yamaha Malaysia tidak memberi apa-apa maklumat berapa peratus potongan angin atau pengurangan kesan drag dicapai dengan penggunaan aero kit.

Beralih kepada warna motosikal. Yamaha Y150ZR Special Edition diwarnakan biru gelap dengan aksen jalur warna hitam lebar dan merah tirus pada dada depan dan sebelah tepi tempat duduk. Rim aloi hadir dengan salutan cat emas.

Enjin Yamaha Y150ZR Special Edition sama macam supermoped standard Y150ZR jenis silinder tunggal 4-lejang 150cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api.

Dengan padanan kotak gear klac tangan 5-kelajuan, supermoped itu menawarkan kuasa 15.6hp pada 8,500rpm dan tork 14.4Nm pada 6,500rpm.

Kuasa memberhentikan roda disandar kepada sepasang sistem brek cakera tunggal. Rim aloi saiz 17 inci didatangkan dengan tayar 90/80 (depan) dan 120/70 (belakang).

Fork macam biasa, jenis teleskopik konvensional dengan padanan sistem monoshock pada swingarm berkembar di belakang.

Saiz tangki petrol ialah 4.2 liter dan berat supermoped ini cuma 117kg. Ukuran panjang 1970mm, lebar 670mm dan tinggi 1100mm. Tempat duduk setinggi 780mm.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *